Dato' Sri Maria Menado atau Maria Abdullah (nama asal beliau Liesbet Dotulong) dilahirkan pada 2 Februari 1932, merupakan seorang bintang filem Melayu yang termasyhur antara 1957 dan 1963. Maria Menado berhijrah ke Singapura dan bertukar agama ke Islam ketika berusia 19 tahun dan berkahwin dengan promoter tinju dan juga penulis skrip, A Razak Sheikh Ahmad.
Dilahirkan di Tonsea, Kabupaten Minahasa, Manado, Sulawesi
Utara, Indonesia, Maria dihantar ke Makassar (Ujung Padang) untuk tinggal
dengan ibu bapa saudaranya apabila ibu bapanya meninggal dunia sewaktu beliau
berumur tujuh tahun. Bagaimanapun, pertempuran antara pihak Belanda dengan
pejuang-pejuang nasionalis memaksakan mereka berpindah ke Jakarta.
Sewaktu Maria berumur 17 tahun, kejelitaannya menyebabkan
beliau menerima tawaran untuk menayangkan baju kebaya di Singapura, dan
kemudiannya di Malaya. Diiringi oleh ibu bapa saudaranya, perjalanan pada 1950
membawa Maria ke Singapura, Kuala Lumpur, Ipoh, dan Pulau Pinang.
Sewaktu di Malaya dan Singapura, rusuhan Maria Hertogh
berlaku. Maria Hertogh, seorang gadis Belanda yang telah diambil sebagai anak
angkat oleh sebuah keluarga beragama Islam dan diberikan nama
"Natrah" telah dikahwinkan oleh ibu bapa angkatnya pada tahun 1950
sewaktu berumur 13. Mahkamah Agung membatalkan perkahwinan itu kerana Maria
tidak cukup umur dan memutuskan bahawa Natrah dikembalikan kepada ibu
kandungnya yang kemudian membawanya balik ke negeri Belanda. Keputusan kes ini
mengakibatkan rusuhan perkauman di Singapura yang berlangsung selama dua hari.
Maria mengikut kes ini dengan penuh minat dan juga memperoleh nama samaran
"Maria". Kawan-kawannya kemudian menggelarkannya sebagai "Maria
dari Menado" (tempat lahirnya) dan nama itu telah menjadi kekal.
Perkahwinan Dengan Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah
Untuk perayaan-perayaan yang istimewa, Maria serta seniwati
yang lain akan dijemput ke istana Pahang untuk mempersembahkan pertunjukan,
khususnya sewaktu hari keputeraan Sultan. Pada salah satu daripada lawatan ini,
Sultan Abu Bakar Ri'ayatuddin melamarnya. Selepas pertimbangan yang mendalam,
Maria berkahwin pada tahun 1963 sewaktu berumur 30. Perkahwinan itu bukan
sahaja menamatkan kerjaya filemnya tetapi juga menyebabkan filem-filemnya tidak
boleh lagi ditayangkan di pawagam atau televisyen. Majlis Diraja Istana Pahang
memerintah bahawa oleh sebab Maria merupakan permaisuri Sultan, tayangan
filem-filemnya tidak dibenarkan di dalam negeri Pahang. Bagaimanapun, filemnya
turut tidak ditayangkan di seluruh negara. Dengan itu, Ho Ah Loke, pemilik
Cathay Keris tersangkut dengan filem-filem Maria. Oleh sebab filem-filem itu
amat memakan ruang hawa dingin di dalam rumah Ho, dia kemudian terpaksa
membuangnya kerana filem-filem itu telah menjadi suatu sumber pergaduhan dengan
isterinya.
Selepas kemangkatan Sultan Pahang, Maria berpindah dari
Pekan ke Kuala Lumpur. Sewaktu itu, beliau memohon kepada Sultan Ahmad Shah,
Sultan Pahang kini yang mengetuai Majlis Diraja Istana Pahang, supaya
filem-filemnya dibenarkan ditayangkan semula. Baginda memberikan kebenaran,
akan tetapi pada waktu itu, filem-filem yang dilakonnya telah dibuang ke dalam
sebuah lombong yang tidak digunakan lagi. Tidaklah diketahui mengapa Ho tidak
berjumpa Maria atau muzium-muzium negeri untuk menyumbangkan filem-filem itu.
Kehilangan filem-filem tersebut merupakan suatu kerugian yang amat besar,
kerugian yang tidak ternilai untuk sejarah filem Malaysia.
Perkahwinan Maria dengan Sultan Abu Bakar telah dikurniakan
dengan 3 orang cahayamata iaitu ;
- YAM Tengku Norashikin Sultan Abu Bakar
- YAM Tengku Idris Sultan Abu Bakar
- YAM Tengku Baharuddin Sultan Abu Bakar
Sewaktu di puncak kemasyhuran , beliau diberi peranan sebagai watak jahat di samping Shammi Kaopor dalam filem Hindi yang bertajuk "Singapore". Filem tersebut menjalani penggambaran di Singapura dan Mumbai.
Dalam jangka masa 12 tahun, Maria berlakon lebih 20 filem termasuk
filem terbitan produksinya sendiri, Maria Menado Production (M. M Production)
melalui filem Siti Zubaidah pada 1961. Beliau merupakan penerbit filem wanita
Melayu yang pertama.
Filem-filem yang dilakonkan oleh Maria adalah seperti berikut:
Terbitan Malay Film Production
- Penghidupan (1951)
- Pulau Mutiara (1951)
- Permata Di-Perlimbahan (1952)
- Gadis Peladang (1952)
- Kaseh Menumpang (1953)
- Nafsu (1954)
- Pertarohan (1954)
- Selamat Hari Raya (1955)
- Saudara-Ku (1955)
- Matahari (1958)
Terbitan Cathay-Keris
- Selendang Delima
- Orang Lichin
- Pontianak
- Dendam Pontianak
- Sumpah Pontianak
- Korban Fitnah
- Raja Bersiong
- Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
- Tun Fatimah
Terbitan Maria Menado Production
- Siti Zubaidah
- Darahku
- Bunga Tanjung
- Pontianak Kembali
Lain-Lain
- Singapore (1960 film) (sebagai Maria)
- Our Sister Mambo
0 Comments