Penduduk di pesisir pantai khususnya di negeri-negeri Pantai Barat Semenanjung Malaysia disaran agar lebih berwaspada berdepan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku dalam tempoh empat (4) hari bermula pada 2-5 Januari 2022 (Ahad-Rabu).
Walaupun kejadian fenomena air pasang besar pada kali ini berskala lebih kecil berbanding bulan November yang lalu, keadaan akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak yang akan menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai (coastal flooding).
Kawasan-kawasan yang berisiko adalah di Kedah (Kuala Muda), Perak (Bagan Datoh), Selangor (Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Kuala Selangor) dan Johor (Batu Pahat dan Pontian).
Sehubungan dengan itu, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dinyatakan di kawasan terbabit. Orang ramai juga diminta untuk sentiasa memantau keadaan cuaca dan sekiranya hujan lebat serta air laut pasang berlaku serentak, mereka perlu bersedia untuk berpindah ke tempat selamat dan mematuhi arahan pihak berkuasa yang ditetapkan.
Disediakan oleh:
Bahagian Pengurusan Zon Pantai,
Jabatan Pengairan dan Saliran, Malaysia
0 Comments