Salam Maulidur Rasul

Maulidur Rasul (Arab: kelahiran Rasul) atau Maulud Nabi Muhammad SAW ialah hari bersejarah keputeraan Nabi Muhammad. Hari bersejarah itu jatuh pada hari ke-12 bulan Rabiulawal sempena keputeraan Nabi yang jatuh pada Isnin (Dari hadis riwayat Muslim, 8/25), 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571. Baginda merupakan nabi terakhir yang diutus oleh Allah Subhanahuwataala. Tapak keputeraan baginda pula kini mempunyai satu bangunan kecil yang dikenali sebagai Maulid Nabi.


Setiap tahun pada hari itu, umat Islam di seluruh dunia akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad SAW dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul.


Salam Maulidur Rasul


Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad Sallallahualaihiwasallam kerana apabila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.

 

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah Subhanahuwataala terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah SWT akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah Subhanahu Wataala.

 

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Post a Comment

0 Comments