Buat pengetahuan, Pokok Kabung, kantor atau enau (bahasa Inggeris: Common Sugar Palm) ialah satu spesies tumbuhan dalam famili Arecaceae yang berasal dari Asia Tenggara, dan Australia Utara. Nama botaninya Arenga pinnata.
Pokok kabung ialah sejenis pokok palma yang mempunyai daun berpelepah seperti pelepah daun kelapa. Batang pokoknya kukuh dan mempunyai pelepah pada pangkal setiap daun. Pelepah ini mempunyai serat hitam yang digunakan untuk membuat penyapu dan tali.
Bunga pokok kabung tumbuh berumpun-rumpun, dengan bunga jantan dan bunga betina terdapat dalam rumpun yang berasingan. Tangkai bunga jantan Pokok Kabung menghasilkan todi yang boleh dijadikan cuka atau gula.
Buah Pokok Kabung berjuntai-juntai sepanjang 1.5 meter (5 kaki). Setiap tandan mempunyai 10 tangkai, dengan setiap tangkai ada lebih kurang 50 biji buah kabung berwarna hijau yang tidak boleh dimakan begitu sahaja kerana kulitnya mengeluarkan getah yang sangat gatal.
Kelebihan Gula Kabung
Nira pokok kabung dihasilkan dari tangkai atau tandan bunga jantan. Kaedah atau cara untuk menghasilkan nira kabung, hampir sama cara mendapatkan nira nipah.
Air nira kabung yang ingin dibuat gula kabung biasanya dimasak menggunakan kawah kerana mudah untuk mengacau. Mengacau memasak gula kabung sama seperti mengacau membuat dodol. Bezanya masa mengacau gula kabung lebih singkat.
Air nira kabung yang dimasak perlu dikacau sehingga pekat dan berwarna coklat kmerahan. Setelah betul-betul pekat ia perlu segera dimasukkan ke dalam acuan daun mengkuang yang berbentuk bulat untuk dikeraskan. Proses pengerasan hanya kira-kira 5 minit selepas diambil dari kawah.
Keenakan gula kabung memang tiada tandingannya kerana rasa manisan itu berbeza dengan gula biasa yang diperbuat daripada tebu.
Rasa gula yang enak dan tidak terlalu manis menjadikan menyebabkan gula kabung menjadi pilihan di dalam masakan tradisional seperti dodol, kuih-muih atau dijadikan manisan untuk minuman.
Gula kabung boleh menggantikan gula biasa atau gula tebu. Gula kabung mengandungi kandungan glukosa yang lebih rendah berbanding gula pasir. Selain itu gula kabung kaya dengan Vitamin C, Thiamine, Nicotinic acid, Riboflavin, Ascorbic acid dan zat protein.
Memandangkan kepada kandungan zat galian dan nutrisinya yang tinggi, maka gula kabung amat sesuai bagi pengidap diabetes, lelah atau asma, anemia atau kurang darah, mereda panas pankreas, membantu pertumbuhan gigi dan tulang, menghalang kegemukan dan baik untuk proses pembesaran kanak-kanak. (kredit Lukman Ismail)
Ironinya gula kabung hanya diproses dan dibuat di Pahang. Tempat pemprosesan gula kabung terkenal di Pahang adalah di Peruang, iaitu terletak di daerah Kuala Lipis, Pahang.
Apa yang admin boleh jamin, jika anda sudah mencuba gula kabung pasti anda jatuh cinta dengan kelazatan rasa gula kabung ini. Dibungkus dengan balutan yang unik dan kemas, bagi anak jati Pahang untuk mengenali gula kabung asli serta yang membezakan antara gula kabung dengan gula yang lain adalah melalui balutan dan juga rasa gula kabung itu sendiri.
Resipi kuih Badak Berendam Gula Kabung
Bahan-bahannya :-
1. Tepung Pulut
2. Air
3. Gula Kabung
4. Santan pekat
5. secubit garam.
Cara-caranya :-
1. Bancuh tepung pulut bersama air sehingga boleh diuli (cara sama seperti buat kuih Buah Melaka).
2. Masukkan Gula Kabung sebagai inti dan bentukkan bulat-bulat dan masukkan dalam mangkuk.
3. Selepas selesai, tuangkan santan pekat yang telah dibancuh dengan secubit garam.
4. Bungkus mangkuk yang dah siap dengan adunan tadi dengan plastik pembungkus (ini adalah bertujuan untuk mengelakkan air masuk ketika proses mengukus)
5. Kukus selama 10-15 minit.
6. Sedia dihidang. Namun diingatkan untuk makan ketika suam kerana kuih yang panas boleh melecurkan lidah.
Boleh rujuk video dibawah untuk cara membuat kuih Badak berendam Gula Kabung.
0 Comments